Ada orang kata cinta dulu sebelum kahwin, pasti hidup akan bahagia. Tetapi, ada yang tidak setuju dan menghujah " kahwin dulu baru datang cinta, itu lebih bahagia". Pada hemat saya, bergantung pada keadaan, dua-dua teori pun boleh dipakai.
Kisah cinta nenek penuh dengan babak-babak suspen. Menurutnya, anak dara zaman dulu mana ada cinta-cinta. "Macam mana nak cinta, aku pun tak pernah kenal dia!", katanya ketawa. 'Dia' yang dimaksudkan itu ialah tok ki. Macam tidak percaya mendengar ceritanya. Konon, orang tuanya memberitahu satu malam selepas makan "keluarga Ayob ada terserempak dengan emak di pasar pagi tadi. Si Ayob itu berkenan dengan engkau, minggu depan dia orang nak masuk meminang!"
Ayob? Suspen pertama bermula. Ada tiga Ayob di kampung berkenaan. Maklumlah dulu-dulu tidak ada idea untuk beri nama lain, balik-balik Ayob! Itupun kira ok sangat, sebab lebih baik dari Kulop, Buyong, Taming atau Mat Lisut.
Agaknya Ayob yang mana satu yang akan menghantar rombongan meminang? Satu, Ayob belakang surau. Memang nenek tidak pernah bertemu mata, tetapi dengar cerita orang, Ayob yang seorang ini hebat memanjat pokok tinggi untuk mengambil madu lebah. Kalau musim petai, Ayob inilah yang paling banyak dapat upah memanjat pokok tinggi. Satu lagi Ayob seberang sungai yang kerjanya melukah ikan, dan dengar cerita baru tamat menuntut ilmu pencat silat. Satu lagi Ayob memang selalu menjadi sebutan, dan nenek pun berharap Ayob ini bakal menjadi suaminya. Inilah Ayob anak Tok Ketua.
Tetapi, pada pagi hari rombongan hendak datang, barulah nenek diberitahu oleh orangtuanya "Engkau ni makin cantik sekarang, bertuah Ayob seberang sungai dapat engkau. Dia tu pandai bersilat tau!"
Ayob seberang sungai pun tidak kisahlah, no problem! Menurut nenek, anak dara dulu tidak cerewet sangat denga pilihan orang tua. Apa yang mak pak kata okey, yang empunya diri akan kata okey. Membantah bererti padah, itulah hukum karma waktu itu.
Tunang dua tahun. Walaupun sekampung tidak ada peluang untuk bertemu mata, jauh sekali untuk pegang-pegang tangan. Kalau hendak melihat 'hero' ketika dia berbasikal di hadapan rumah, itupun terpaksa mengintai di balik tingkap.
Macam tidak percaya apabila nenek memberitahu bahawa sepanjang dua tahun itu, hanya dua kali dia betul-betul cakap berdepan dengan Ayob, iaitu ketika tunangnya berkunjung ke rumah dengan orang tuanya. Walaupun tidak diberitahu, saya dapat membayangkan betapa debaran malam pengantin nenek...dan betapa cinta yang bersemi setelah kahwin itu kekal hingga ke mati.
"cerita di atas saya copy dan 'buang' mana yang kurang penting..mengambilnya tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada penulis...huhu (maafkan saya..namun, sumber saya lampirkan di bawah..hehe)..penulis ada menceritakan berkaitan cinta cucu....saja tak nak tulis sebab panjang sangat...peace~"
Komen saya...itu cinta nenek....cinta cucu bagaimana?
Sumber : Majalah Pengantin Mac 2008